Wednesday, 28 October 2015

GAJET SAYA

Assalamualaikum kawan-kawan.

Dalam entri pada kali ini, saya hendak berkongsi dengan kawan-kawan saya serba sedikit mengenai gajet saya seperti laptop dan telefon bimbit. Gajet dalam erti lain adalah alatan elektronik yang mempunyai fungsi-fungsi tersendiri. Disini saya berkongsi kelebihan dan juga kekurangan yang terdapat pada gajet.

Sebagai seorang pelajar, gajet merupakan alatan yang sangat penting. Sebagai contoh, laptop. Menjadi kewajipan bagi seorang pelajar untuk memiliki sebuah laptop bagi memudahkan setiap urusan seperti menyiapkan tugasan-tugasan, mencari maklumat-maklumat pelajaran dan banyak lagi. Saya menggunakan laptop Compaq semenjak tahun 2010 dan kini laptop saya berusia 5 tahun. Antara kelebihan laptop Compaq Presario CQ42 adalah harga yang paling murah ketika itu. Tetapi jangan cepat meletakkan harga sebagai kualiti terhadap sesuatu barang kerana ketahanan dan juga kelasakkan laptop Compaq ini lebih baik daripada laptop-laptop jenama yang lain. Selain itu, reka bentuk yang cukup unik menyebabkan saya memilih untuk memiliki laptop ini. Setiap produk mempunyai kelebihan dan kekurangan. Antara kekurangan laptop ini adalah masih lagi menggunakan intel pentium yang menyebabkan proses pergerakan lambat atau berat. Sebagai contoh, bermain game menggunakan intel akan menjadikan game itu terlampau berat dan lambat untuk proses. selain itu, laptop Compaq ini lebih kepada penggunaan di pejabat ataupun untuk pelajar seperti saya.



COMPAQ PRESARIO CQ42

Contoh gajet saya yang ke dua pula adalah telefon bimbit. Saya menggunakan telefon bimbit Samsung S4 dan saya telah menggunakannya hampir 3 tahun setengah. Alhamdulillah, saya tidak lagi mengalami apa-apa masalah sepanjang saya menggunakan Samsung S4 ini. Penggunaan telefon bimbit memudahkan urusan saya dalam menghubungi sesiapa sahaja tidak kira atas urusan kerja ataupun tidak, dan saya juga tidak mempunyai masalah jarak jauh kerana adanya telefon bimbit ini. Produk ini juga mempunyai kelebihan dan kekurangan. Antara kelebihannya adalah mempunyai skrin 5 inci lebih besar daripada Samsung S3. Selain itu, kamera Samsung S4 mempunyai  13 megapixel dilengkapi dengan teknologi yang canggih iaitu, dual shot, touch focus dan lain-lain. Didatangi dengan sistem Android jelly bean v4.2.2 yang mana membolehkan anda untuk memuat turun pelbagai aplikasi seperti lagu, game dan sebagainya. Manakala kekurangan yang terdapat pada telefon bimbit S4 ini adalah harga yang terlalu mahal daripada telefon bimbit yang lain. Selain itu, telefon bimbit ini tidak mempunyai radio dan juga memakan ruang yang berlebihan sehinggakan RAM cepat penuh dan menjadikan telefon bimbit menjadi perlahan. Malah, material yang digunakan adalah plastik menampakkan ia lebih murah daripada telefon bimbit yang lain.



SAMSUNG GALAXY S4

Tuesday, 27 October 2015

PENGALAMAN SAYA DI UUM

Assalamualaikum sahabat-sahabat syang dirahmati oleh Allah S.W.T..

Alhamdulillah, anda semua ap khabar? semoga sihat dan berada dalam perlindungan Allah selalu, Amin. :-)

Pada hari ini, saya akan berkongsi dengan anda semua tentang pengalaman-pengalaman saya di Universiti Utara Malaysia, UUM sepanjang 4 tahun saya bergelar pelajar di sini. Saya mengambil ijazah dalam bidang sains pemutusan. Pernahkah anda mendengar kos SAINS PEMUTUSAN?? Mungkin ada diantara anda pernah mendengar kos ini dan mungkin ada diantara anda tidak pernah mendengar kos ini dan mungkin  juga diantara anda tidak pernah tahu akan kewujudan kos tersebut, betul tidak? Begitu juga saya, bahkan saya memang tidak mengetahui akan kewujudan kos ini di Malaysia. Tetapi ia tidak mematahkan semangat saya untuk melanjutkan pelajaran di peringkat ijazah. Dengan berbekalkan usaha, saya cuba mencari maklumat mengenai kos tersebut melalui pelbagai medium iaitu internet, bertanya kepada pensyarah dan lain-lain. Berita paling mengembirakan saya adalah kos yang ditawarkan adalah berkaitan dengan pengiraan. Subjek yang paling saya suka adalah matematik dan jugak semua subjek yang melibatkan pengiraan. Tanpa berfikir panjang, saya terima tawaran belajar di UUM dan mendapat sokongan daripada kedua ibubapa saya, Alhamdulillah. 

Pada 3 September 2012, bermulalah  perjalanan saya sebagai seorang pelajar di UUM. Pada hari pertama di UUM, saya berasa sangat sedih kerana jauh di sudut hati saya memikirkan bahawa saya akan ditinggalkan oleh keluarga dalam tempoh yang agak panjang. Dalam diam hati saya menangis tetapi digagahi juga untuk mengecapi impian yang terpendam. Satu cerita yang tidak dapat saya lupakan dan adalah antara cerita yang paling nakal saya alami pada ketika itu ialah kami sesat di dalam kebun getah semasa dalam perjalanan mencari lokasi UUM. :-) Selepas selesai sesi pendaftaran, saya diberi kunci bilik untuk menyimpan barang-barang yang dibawa. Perasaan sedih mula menyelubungi diri apabila mengetahui bahawa saya tiada rakan sebilik tetapi saya tabahkan hati dan saya percaya saya mampu untuk mengharungi cabaran ini. Sepanjang tempoh 6 bulan menjadi junior, pelbagai aktiviti-aktiviti blok yang telah saya sertai. Contohnya, pentomin, nasyid, senaman dan banyak lagi.


Aktiviti nasyid yang saya sertai dan mendapat tempat yang pertama
dalam DPP TNB.


gambar ini pula adalah semasa saya menyertai aktiviti pentomin
dan mendapat tempat ke-2.

Dalam sedih, ada juga gembira kerana disinilah saya dapat kawan dan mengenali antara satu sama lain. Malahan, kawan-kawan yang menyertai aktiviti ini juga merupakan kawan satu kos. Hubungan kami antara satu sama lain semakin rapat dan akrab.  

Rasa sedih mula menyelubungi diri semasa saya semester 2. Ini kerana 10 daripada 12 orang kawan-kawan saya yang sama kos telah berjaya mendapat penukaran kos di UUM. Blok E, DPP TNB iaitu blok yang saya diami merupakan bilangan pelajar yang paling ramai dalam kos sains pemutusan tetapi malangnya pada ketika itu hanya tinggal 2 orang sahaja. Cabaran yang besar bagi saya kerana saya harus menyesuaikan diri seorang diri ketika itu. Tiada kawan sebagai rujukan atau kawan mengulangkaji bersama sehinggakan saya pernah terfikir untuk menarik diri daripada meneruskan pelajaran di UUM.  Tetapi memikirkan ibu bapa saya yang banyak bersusah payah untuk saya, saya kuatkan diri untuk terus mara demi mereka. Impian saya adalah satu iaitu memberikan kebahgiaan dan menyara hidup mereka kelak. Impian inilah yang memberi semangat kepada saya sehingga sekarang. Pada semester 2 juga aktiviti blok tidak saya lupakan. Pelbagai aktiviti yang saya sertai untuk mengisi masa yang lapang dan juga berkumpul bersama kawan-kawan saya. 

 salah satu aktiviti yang kami sertai di UUM pada semester 2.

Pengalaman saya semasa semester 3 tidaklah sebanyak semester 1 dan 2. Ini disebabkan kekurangan aktiviti yang dianjurkan pada semester ini. Walaupun begitu, saya akan mencari peluang untuk melibatkan diri saya dalam aktiviti-aktiviti yang dianjurkan oleh pihak lain. Sebagai contoh, saya menyertai hoki dalam SUKUM. Hoki merupakan salah satu permainan kesukaan saya. Dari zaman sekolah rendah sehingga zaman sekolah menengah, saya bermain hoki. Alhamdulillah, disebabkan hoki juga saya dapat mengetahui kesihatan tubuh badan saya. Ini kerana, semasa saya menjalani latihan dan juga perlawanan, saya sering jatuh dan kadangkala oksigen tidak sampai pada tubuh saya menyebabkan saya semput. Disebabkan kejadian itu berulang kali berlaku, saya mengambil keputusan untuk melakukan pemeriksaan dengan doktor dan mengetahui bahawa jantung saya lemah.  Tambah doktor, jantung saya lagi lemah daripada ibu saya yang usia jauh lebih tua daripada saya. Mungkin ini disebabkan oleh faktor keturunan. Ayah saya juga menghidap sakit jantung. Tetapi Alhamdulillah, saya dapat tahu tentang ini lebih awal. Saya bersyukur kerana saya boleh mencegah perkara ini daripada awal bagi mengelakkan perkara yang lebih teruk berlaku pada masa akan datang. Selain itu, saya juga terlibat dengan aktiviti konvo iatu bermain alat muzik, angklong pada semester ini. Saya berasa sangat seronok walaupun hanya duduk bermain alat muzik tetapi saya dapat melihat wajah-wajah kegembiraan yang terpancar di setiap pelajar dan juga ibu bapa pada ketika itu. 


kawan-kawan satu perjuangan dalam bidang muzik angklong



Pandangan atas dalam dewan UUM. :-)


Pada semester 4, saya masih lagi aktif dalam menyertai aktiviti-aktiviti blok. Salah satu perhimpunan di pusat sukan UUM. Saya selitkan satu gambar untuk tatapan anda semua. :-)


Alhamdulillah, saya dapat rakan sebilik pada semester ini. Pertama kali dapat rakan sebilik membuatkan saya berasa gembira dan juga janggal. Janggal kerana sebelum ini saya hanya duduk berseorangan, tidak perlu memikirkan apa-apa hanya diri saya sendiri. Alhamdulillah, dahulu bilik saya sedikit sunyi kini kembali ceria dengan gurauan, gelak ketawa dan sebagainya.

pada semester 5 pula, satu pengalaman yang tidak akan saya lupakan adalah tentang penghijrahan saya daripada yang buruk ke arah yang lagi baik. Alhamdulillah, saya bersyukur sebab saya masih lagi diberi peluang oleh Allah S.W.T untuk berubah. Sebelum penghijrahan saya, macam-macam saya buat. Pakaian tak terjaga, aurat terbukak sana sini, tingkahlaku entah kemana. Salah satu faktor penghijrahan saya adalah disebabkan faktor persekitaran. Bersyukur dikurniakan rakan sebilik yang menjaga agama yang mana boleh menjaga saya, menasihati saya, memberi nasihat dan juga ilmu pada saya dalam mencari apa itu Islam. Daripada dahulu lagi saya inginkan perubahan pada diri saya, tetapi saya tidak kuat. Walaupun sering dimarahi oleh ibu bapa berkaitan pakaian, dan macam-macam tetapi saya tetap degil dengan peragai lama. Saya bersyukur, Allah S.W.T masih lagi memberi hidayah kepada saya untuk saya bertaubat kepadaNya. Yang pastinya, kegembiraan terpancar pada wajah ibu bapa tentang penghijrahan yang saya lakukan ini. Saya berharap, saya akan terus kuat dan akan terus mencari dan mencari untuk menuju ke tempat yang lebih baik daripada sebelum ini, insyaaAllah. Amin.  :-)  Selain itu, saya juga menyertai program international islamic forum oleh Dr,Mahathir di Putrajaya. 



Pada semester 6, saya kurang menglibatkan diri saya dalam aktiviti blok, Salah satu sebab adalah saya ingin belajar ilmu agama dan juga salah satu sebab lagi adalah saya dan rakan sepasukan terlibat dengan seminar "cidb green card". Seminar ini merupakan salah satu projek yang wajib dilaksanakan bagi setiap pelajar yang mengambil subjek pengurusan projek. Setiap kumpulan akan diberikan tajuk dan juga diberikan tempoh untuk melaksanakannya. 


Kebanyakkan pelajar-pelajar yang menyertai seminar ini 
adalah daripada kos MOT.

Pada semester 7  yang mana merupakan semester terakhir saya di UUM. Tidak sabar rasanya untuk menasuki alam pekerjaan. Saya tidak mempunyai pengalaman dalam menyertai mana-mana aktiviti kerana masa yang sang terhad. Kebanyakkan masa yang ada  dihabiskan dengan menyiapkan tugasan-tugasan yang telah diberikan oleh pensyarah. 

Inilah sedikit sebanyak pengalaman-pengalaman saya di UUM yang boleh dikongsikan dengan anda semua. saya harap anda semua terhibur dan mungkin menarik sedikit minat anda untuk menyambung pelajaran di Universiti Utara Malaysia.

Sekian


Friday, 16 October 2015

Madu Lebah

Assalamualaikum kawan-kawan.

Hai! Apa khabar? Saya harap anda semua sihat dan selalu berada dalam lindungan Allah S.W.T, InsyaaAllah. Alhamdulillah, pada 13 Oktober 2015, saya berpeluang untuk menziarahi bapa saudara di Besut, Terengganu. Pangilan manja bapa saudara saya adalah pak ju. Pak ju merupakan anak ke-2 terakhir dalam keluarga emak saya. Untuk pengetahuan anda, saya berasa sangat terlebih teruja semasa berada di sana. Saya berpeluang untuk mengikuti bapa saudara saya untuk mengambil madu lebah yang segar daripada pokok tualang. Dari situ, saya dapat menimba ilmu bagaiman cara-cara untuk mengambil madu lebah dan juga saya dapat pengalaman yang boleh dikatakan sangat mencabar iaitu meredah hutan. Saya  seorang yang gemar makan madu. Terdapat pelbagai khasiat di dalam madu lebah ini yang mungkin kita tidak tahu. Sebagai contoh khasiat yang selalu kita tahu dalam madu iaitu madu baik untuk merawat jerawat ataupun batuk. Dalam entri saya pada kali ini, saya akan menceritakan kepada anda pengalaman dan juga pemerhatian saya pada hari kejadian. :-)



Gambar di atas adalah madu tualang yang diambil pada hari tersebut.


Untuk pengetahuan anda, madu lebah ni sebenarnya berasal daripada perut lebah seperti mana yang disebut dalam Al-Quran Surah An Nahl Ayat 69 iaitu " Dari perut lebah itu keluar minuman yang mempunyai pelbagai warnanya"..

Seperti yang kita tahu, pokok tualang biasa dijumpai di dalam hutan. Pokok ini sangat tinggi dan besar. perjalanan kami meredah hutan mengambil masa yang agak lama. jarak yang jauh tidak mematahkan semangat saya malahan saya lagi bersemangat dan teruja untuk sampai ke lokasi yang dicari. Meredah hutan pada ketika itu bukanlah pengalaman yang pertama saya kerana semasa di alam persekolahan, saya banyak menyertai kem-kem dan juga mendaki gunung dan juga bukit. oleh itu, saya tidak sedikitpun berasa tidak selasa malahan sangat seronok yang tidak dapat saya gambarkan pada anda semua tentang perasaan saya ketika itu. maklumlah, zaman persekolahan sudah pun lama berlalu, dan aktiviti-aktiviti yang dahulu saya sertai sudah lama ditinggalkan. Dalam perjalanan, saya berasa sangat kagum melihat mereka kerana kecekalan dan ketabahan mereka untuk mencari rezeki sangat kuat untuk menyara keluarga masing-masing. Setelah meredah hutan, tibalah kami di tempat yang kami tuju. Terdapat beberapa langkah atau cara yang patut kita patuhi untuk mengambil madu. Kita tidak boleh mengambil madu sesuka hati kita kerana ini mungkin akan merbahayakan nyawa anda dan juga orang disekeliling anda. Perkara pertama yang perlu dititikberatkan adalah pakaian. Pakaian yang digunakan haruslah tebal kerana ia bertujuan untuk mengelak daripada disengat lebah. berdasarkan pemerhatian saya dan juga infomasi-infomasi yang diberikan oleg bapa saudara saya, pakaian yang dipakai hendaklah sekurang-kurangnya tiga lapisan. lapisan pertama adalah pakaian biasa seperti baju t-shirt. lapisan kedua adalah baju lengan pnjang yang agak tebal sedikit daripada lapisan pertama dan lapisan ketiga juga baju berlengan panjang yang mana ketebalannya adalah lagi tebal daripada lapisan kedua. ini kerana, sengat lebah tualang sangat merbahaya daripada lebah-lebah yang lain. Selain itu, kita juga dikehendaki memakai sarung tangan untuk mengelakkan berlakunya kulit luka ataupun disengat oleh lebah semasa proses memanjat dan juga mengambil lebah. Peralatan-peralatan yang akan dibawa naik juga sangat banyak. contohnya, baldi, paku, tukul, pisau, pengasap, tali dan macam-macam lagi. Proses memanjat pula bukan menggunakan tangga tetapi dengan menggunakan paku yang bersaiz panjang dan tebal dan juga untuk keselamatan mereka menggunakan tali yang diikat pada badan. Penggunaan paku adalah bertujuan untuk menaiki ke puncak kerana pokok tualang sangat tinggi dan tiada dahan pada aras bawah yang mana menyukarkan proses memanjat. Paku yang digunakan adalah untuk menampung berat badan kita untuk langkah yang seterusnya. Setiap langkah untuk mara ke puncak adalah dengan memaku pada batang pokok tualang dan begitulah seterusnya sehingga sampai pada tempat madu tersebut. Manakala setiap langkah yang diambil haruslah berhati-hati kerana risiko untuk jatuh adalah tinggi bagi orang yang tidak mahir ataupun tiada pengalaman dalam pengambilan madu lebah ini. Proses turun juga menggunakan cara yang sama tetapi proses membawa turun madu adalah berbeza iaitu madu akan diletakkan di dalam baldi dan dibawa turun melalui tali. Proses mengambil madu pula adalah menggunakan pengasap bagi menghalau lebah yang berada dalam sarang dan juga sekitar sarangnya. Selepas itu, madu dihiris sedikit demi sedikit dan diletakkan di dalam baldi. Proses ini diulang-ulang sehingga tiba masa untuk pulang. Saya berasa sangat gembira kerana berpeluang untuk merasa pengalaman cukup bermakna ini. Walaupun sekadar menjadi pemerhati dari bawah, tetapi saya bersyukur kerana bukan senang untuk seseorang mendapat pengalaman sebegini, Alhamdulillah. Jom!! Sama-sama kita amalkan makan madu setiap pagi bermula daripada sekarang. InsyaaAllah, kita pasti akan merasa perubahannaya. InsyaaAllah,amin. :-)




Untuk santapan anda semua. Ya Allah!! Sedapnya...

SALAM PERKENALAN

Assalamualaikum W.B.T... :-)

Apa khabar? Saya harap anda di luar sana sihat sejahtera.

Terlebih dahulu saya ucapkan ribuan terima kepada anda semua kerana sudi mengunjung blog saya yang tidak seberapa ini. Untuk perkenalan yang pertama dan seterusnya, insyaaAllah, lebih baik saya memperkenalkan diri saya terlebih dahulu.  :-)   Nama yang diberi oleh kedua orang tua saya adalah NUR RASYIDAH AB RAHIM dan anda boleh juga menggunakan panggilan manja saya iaitu 'SYIDAH'. Terpulang pada anda untuk panggil saya dengan apa-apa panggilan, saya tidak kisah. Saya berasal dari KUALA TERENGGANU dan sekarang telah melanjutkan pelajaran di Universiti Utara Malaysia, Kedah. Alhamdulillah, saya dapat menyambung pelajaran saya ke peringkat yang seterusnya iaitu ijazah. Alhamdulillah, rezeki saya dan saya sangat bersyukur ke hadrat Ilahi kerana saya masih lagi diberi peluang untuk terus mencari ilmu dan InsyaaAllah akan terus mencari ilmu pada masa akan datang. Saya ditawarkan oleh UUM dengan kos Ijazah Sarjana Muda Sains dengan Kepujian 'Sains Pemutusan'. saya merupakakn pelajar tahun ke-4 dan insyaaAllah, semoga tahun ini merupakan tahun yang terakhir bagi saya di UUM ini. Amin.. :-) sekiranya anda berminat untuk mengetahui infomasi-infomasi berkaitan dengan  kos sains pemutusan, jangan segan untuk bertanyakan kepada saya sekiranya terdapat persoalan atau kekeliruan yang bermain di minda anda. InsyaaAllah, saya akan tolong anda semua selagi mana yang termampu. Hobi saya adalah BERSUKAN. Sukan yang paling digemari oleh saya adalah bermain badminton dan hoki kerana bagi saya bersukan ini dapat memberikan satu kepuasan yang tidak terhingga kepada saya. Selain itu, dengan bersukan ini juga menjadikan badan saya lebih cergas. Malahan, bersukan juga dapat menghilang tekanan atau bebanan kerja sama ada tekanan di tempat sekolah mahupun tekanan di tempat kerja. Saya berumur 24 TAHUN dan alhamdulillah masih muda. :-) Sehingga kini, saya masih lagi diberi kekuatan dan kecerdasan oleh Allah S.W.T untuk melakukan tugas-tugas harian. Saya merupakan anak yang ke-6 daripada 6 beradik dan merupakan ANAK BONGSU dalam keluarga saya. Kebiasaanya anak bongsu selalu dikaitkan dengan berpewatakan manja, betul x? Tetapi bagi saya, saya bukanlah seorang yang berpewatakan manja dalam keluarga saya. Saya lagi gemar untuk menjadi seorang rakan kepada adik-beradik saya kerana ia dapat menjadikan keluarga kami bertambah akrab yang mana keakraban kami boleh dilihat dari segi sering bertukar pendapat, saling menasihati antara satu sama lain sekiranya kami mempunyai masalah, sering menjadi pendengar yang setia dan banyak lagi. Makanan kegemaran saya dari kecil sehingga dewasa adalah TOMYAM. Saya sangat suka makan tomyam sehinggakan kemana sahaja kedai yang saya singgah, semestinya saya akan memesan makanan kegemaran saya iaitu tomyam. Tidak pernah ada perasaan jemu terhadap makanan kegemaran saya. Bila tiba-tiba sebut tomyam, perut saya terasa lapar!! :-) Sampai di sini dahulu entri blog saya pada kali ini, dan insyaaAllah akan bakal bersambung dalam entri yang lain untuk topik-topik yang seterusnya. SALAM PERKENALAN DARIPADA SAYA UNTUK ANDA SEMUA.



salam kasih sayang : syidah :-)